Sunday 5 October 2014

PROGRAM KITAR SEMULA :)



Pada era globalisasi kini, alam sekitar semakin mencemar oleh sebab-sebab tertentu seperti pencemaran udara, air, tanah, bunyi, pembalakan haram dan lain-lain.Pencemaran ini, akan membawa kesan negative kepada kesihatan kita di samping ketidak seimbangan bumi di masa depan.

Ramai orang kini sedar tentang kemerosotan alam sekitar.Bagi tempat-tempat tertentu kemerosotan alam sekitar telah mencapai krisis dan boleh dianggap sebagai bencana.Sebagai contohnya, kebocoran loji nuclear di Chernoby, Ukraine     ( dulunya dalam kesatuan Soviet ) telah merosakkan alam sekitarnya tanpa dapat diperbaiki dan masih menjadi ancaman kepada penduduk sekitar dan alam sekeliling. Media massa sering membawa berita tentang aspek kemerosotan alam sekitar, dan tidak kurang juga orang perseorangan menyuarakan tentang keadaan alam sekitar itu dalam media tersebut. Antara perkara yang diberi perhatian termasuklah keadaan pencemaran di bandar-bandar besar, kesesakan lalu lintas di bandar, banjir kilat, pencemaran air, pencemaran udara, bunyi dan tanah tanih.Selain itu, penebangan hutan tak terkawal dan kepupusan pelbagai spesis flora dan fauna juga turut diberi perhatian.

Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa pembangunan adalah amat penting untuk kemajuan sesebuah negara.Namun pembangunan yang tidak mengambil kira atau pun tidak diseimbangkan dengan kemampuan alam sekitar sudah semestinya akan menyebabkan konsep pembangunan berterusan tidak dapat direalisasikan. Akibatnya bukan hanya generasi ini sahaja yang akan mengalami masalah tetapi generasi masa depan akan mewarisi masalah yang diwujudkanpada masa ini. Oleh itu, timbullah pelbagai isu dan masalah berkenaan kualiti alam sekitar yang semakin merosot dan diburukkan lagi dengan pelbagai kelemahan dan kekangan dalam menangani isu dan masalah tersebut.

Pelbagai usaha untuk menangani isu-isu alam sekitar telah dilakukan sama ada oleh kerajaan, pihak swasta dan masyarakat sendiri melalui cara perundangan dan bukan perundangan namun hasil nya tetap tidak memuaskan. Keadaan ini disebabkan oleh pelbagai kelemahan dan kekangan dalam melaksanakan langkah-langkah tersebut. Adalah diharapkan tugasan yang dijalankan ini dapat mengenalpasti kekangan dan masalah tersebut dan seterusnya mencadangkan cara penyelesaian yang lebih baik dan berkesan untuk isu-isu tersebut.

Menyedari kepentingan mendidik tentang kepentingan alam sekitar, kami telah melaksanakan program Kitar Semula semasa menjalani program Internship di Sekolah Kebangsaan Gadong Jaya. Apabila kami meneliti dan memerhati kawasan persekitaran sekolah, tahap kebersihan persekitaran sekolah ini berada pada tahap yang kurang memuaskan. Jadi, kami telah bersepakat bahawa kesedaran dalam diri setiap orang murid perlu diterapkan memandangkan “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Matlamat utama kami ialah kami ingin memupuk semangat memelihara dan cintakan alam sekitar dari peringkat akar umbi lagi.

Kami memilih Program Kitar Semula bagi menangani isu yang telah kami kenal pasti memandangkan program ini boleh mendidik murid-murid membuang sampah secara bijaksana. Seperti yang kita sedia maklum, dianggarkan melebihi saturibu tan sampah yang dipungut pada setiap hari di kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor seperti yang dilaporkan oleh akhbar Berita Harian pada 23 Disember 2007. Cuba bayangkan sampah dari kawasan lain di seluruh negara Malaysia. Kemanakah sampah itu dibawa dan apakah yang dilakukan seterusnya? Oleh itu, kami merasakan amalan kitar semula perlu dicakna bersama-sama.

Melalui amalan kitar semula, pencemaran alam sekitar dapat dikurangkan. Barangan seperti kaca, surat khabar lama, tin dan plastic dapat digunapakai semula selepas melalui proses tertentu. Melalui cara ini, kita dapat mengurangkan amalan membakar sampah secara terbuka yang sudah tentu memberikan impak negative kepada kualiti udara yang kita sedut setiap hari.

Bukan itu sahaja, kita juga dapat melindungi hutan di Negara kita. Proses kitar semula surat khabar dan kertas lama sudah tentu dapat menyelamatkan pokok daripada ditebang untuk dijadikan kertas baru untuk kegunaan seharian. Di samping itu, kita sebagai pengguna akan dapat memperoleh wang tambahan daripada hasil jualan barangan kitar semula. Melalui amalan kitar semula juga, kawasan pelupusan sampah dapat dikurangkan. Sisa-sisa domestik yang dipungut setiap hari akan dibawa ketapak pelupusan sampah membabitkan penggunaan berekar-ekar tanah. Jelaslah di sini, usaha bersama dalam menjayakan kitar semula akan dapat megurangkan kawasan pelupusan sampah dan bau busuk.

No comments:

Post a Comment